Saturday 1 December 2012


REFLEKSI  MAKRO  PENGAJARAN

MATA PELAJARAN     :     PENDIDIKAN AGAMA ISLAM ( JAWI)
TAHUN                        :     1 KENANGA
BILANGAN MURID      :     23 Orang
MASA                           :    12.30 – 1.00 PM (30 Minit )
TAJUK                          :    Perkataan dua sukukata terbuka dan tertutup.

PENGENALAN
           Syukur, Alhamdulillah.. akhirnya dapat juga saya menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah e- learning saya iaitu Dr. Abd. Kadir Bin Ariffin. Walaupun pada masa rakaman makro pengajaran ini hampir dengan cuti akhir tahun, namun dapat juga dilaksanakan dengan bantuan kawan. Mungkin terdapat beberapa kelemahan berbanding kekuatan dalam makro pengajaran ini, insyaalah dengan refleksi yang akan saya huraikan nanti dapat membantu saya memperbaikinya di masa pengajaran yang akan datang.

KEKUATAN
          Saya merasa amat berpuas hati kerana di sepanjang pengajaran dan pembelajaran berlaku, murid kesemuanya menumpukan sepenuh perhatian. Walaupun masa pada ketika itu merupakan waktu yang sangat aktif untuk mereka kerana hampir dengan waktu balik. Samada mereka akan membuat bising atau mungkin ada yang tertidur.
          Saya  telah menjalankan sesi makro pengajaran ini mengikut rancangan pengajaran harian yang telah saya sediakan sebelum ini dengan sepenuhnya. Permulaan pengajaran iaitu sebagai set induksi dengan menunjukkan gambar bagi menarik perhatian. Kelihatan murid berminat dengan gambar yang di pamerkan serta menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru dengan baik. Langkah seterusnya, penggunaan kad imbasan dapat mengekalkan konsentrasi murid. Penglibatan mereka juga amat menggalakkan walaupun menjawab secara beramai-ramai.
          Di antara kekuatan lain yang dapat dikesan dalam saya menjalankan makro pengajaran tersebut ialah ketegasan dan kelantangan suara. Suara yang lantang sememangnya memudahkan murid mendengar seterusnya membantu pemahaman murid terhadap apa yang disampaikan oleh guru. Di samping itu, kelantangan suara juga menunjukkan ketegasan dalam menyampaikan sesuatu. Ini akan memberi kesan kepada tumpuan dan fokus murid. Murid akan lebih tertumpu kepada penyampaian isi pelajaran tanpa menghiraukan gangguan-gangguan lain. Ketegasan dalam menyampaikan pelajaran juga akan membuatkan murid lebih hormat kepada guru.
          Kejelasan ketika memberikan arahan juga merupakan kekuatan yang saya kenalpasti ketika sesi pengajaran tersebut. Kejelasan penyampaian memainkan peranan ketika menyampaikan isi pelajaran. Ini memainkan peranan dalam kefahaman murid. Hal ini sangat berkaitan dengan tindakan susulan murid. Arahan yang diberi jelas, memudahkan murid faham, seterusnya melakukan tugas mengikut arahan dan panduan yang diberikan. Tindakan susulan oleh murid yang tepat menunjukkan kefahaman murid terhadap apa yang telah saya sampaikan. Ini terbukti pada kertas soalan yang telah dijawab oleh murid. Setelah pemeriksaan dibuat boleh dikatakan kesemua murid dapat menjawab soalan yang diberi.

KELEMAHAN
         Kelemahan dan kekurangan yang saya kenal pasti dalam tugasan makro pengajaran  saya ini ialah kurangnya aktiviti yang melibatkan keseluruhan murid. Ini dapat saya lihat melalui sikap beberapa orang murid yang kelihatan seperti bosan dan ada juga di antaranya yang menguap. Tiada aktiviti yang menggunakan pergerakan murid mungkin menyebabkan keadaan ini berlaku.
        Seterusnya kekurangan  aktiviti menjadikan pengajaran terlalu singkat sehingga berlebihan masa. Saya dapati masih ada lagi masa walaupun pada ketika itu merupakan langkah penutup di mana murid telahpun selesai menjawab soalan yang diberi. Saya terasa seperti hilang punca memandangkan masa ada lagi 5 minit sebelum loceng berbunyi. Sebagai memenuhi masa tersebut saya telah memberikan murid tugasan di masa  cuti sekolah dengan meminta murid membeli buku kerja latihan jawi yang terdapat di kedai buku.


LANGKAH MENGATASI
        Setiap kelemahan dan kekurangan yang dikesan memerlukan penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti pengajaran pada masa akan datang. Berdasarkan kelemahan dan kekurangan dalam tugasan makro pengajaran yang telah saya lakukan, penambah baikan yang perlu dilakukan ialah merancang pembelajaran dengan lebih teliti dan kemas.
        Sepatutnya saya memilih strategi pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada kaedah dan teknik mengajar, yang meliputi cara-cara melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Apa yang telah saya lakukan kepada murid adalah terlalu minima, hanya beberapa orang murid sahaja yang terlibat ketika menjawab soalan. Teknik pengajaran yang perlu saya gunakan ialah main peranan. Kad-kad imbasan diberikan kepada murid dan murid berperanan untuk mencantumkan sukukata supaya menjadi perkataan yang betul. Mengeja sukukata secara kelas, kumpulan kemudian secara individu. Ini dapat mengelakkan murid dari menjadikan pengajaran tersebut membosankan sehingga ada yang mengantuk. Di samping itu akan dapat menjadikan masa dipergunakan dengan secukupnya.





4 comments:

  1. Assalamualaikum.
    Yang baik dicontohi, yang lemah sama-samalah kita baiki.

    ReplyDelete
  2. Assalamua'laikum...
    Kita mudah mengkritik orang lain mengajar.Bila kita mengajar dan melihat sendiri pengajaran kita, kitapun ada kelemahan sendiri.Sama-samalah kita membaikinya.Tahniah, cantik latar belakang blog ni.Sejuk mata memandang. :)

    ReplyDelete
  3. Waalaikummussalam..terima kasih..

    ReplyDelete

Mari Mengaji